Dari kiri: Ustaz Megat Suhaimi, YB.Salehuddin Ayub, Sdra.Azman Mohamed (Permaidani Hijau) dan Ustaz Suhaimi

Sunday, December 19, 2010

PERAMPASAN TANAH: SUATU ANALISIS KRITIKAL

Posted on/at 9:39 AM by Permaidani Hijau

Latar Belakang

Ketika memerintah Negeri Terengganu pada 1999 hingga 2004, soal pemberian milik tanah kepada rakyat Negeri sangat-sangat diberi perhatian dan keutamaan oleh Kerajaan pimpinan PAS. Dasar baru pelupusan tanah dibuat untuk memberi peluang kepada rakyat memiliki tanah dengan cepat dan berkesan. Ketika mula mengambil tampuk pemerintahan Negeri Terengganu didapati urusan untuk melupus tanah kepada rakyat memakan masa yang begitu lama.

Dasar Pelupusan Tanah.

Kerajaan telah menggubal Dasar Baru mengenai pelupusan tanah. Permohonan Tanah dibuka semula setelah ditutup oleh Kerajaan BN dahulu. Antara lain, Dasar ini menyebut:

v Setiap rakyat Negeri Terengganu, lelaki dan wanita yang belum pernah memiliki tanah pemberian Kerajaan layak memohon.

v Setiap orang diberi peluang untuk memohon satu lot tapak rumah. Tanah pertanian juga diberi pertimbangan di mana sesuai.

v Tanah akan diberi milik secara Lesen Menduduki Sementara untuk tempoh 3 tahun. Dalam tempoh tersebut jika pemegang lesen terbukti telah mengusahakan tanahnya ,maka ia layak untuk dipertimbangkan dengan diber hak milik Sementara (Lis 99 atau 60 tahun )

Proses Pelupusan Tanah

Proses pelupusan tanah biasanya memakan masa yang terlalu lama. Pertama kerana tunggakan permohonan yang sedia ada. Keduanya ialah kerana kerja-kerja mengukur tanah adalah lambat kerana beban kerja yang banyak. Untuk memahami proses pelupusan tanah, di catitkan aliran yang berlaku seperti berikut.

v Pejabat Tanah menerima permohonan individu atau secara kelompok

v Pejabat Tanah menjalankan kerja-kerja ukur dan mohon pandangan teknikal daripada jabatan berkaitan

v Pejabat Tanah sedia kertas kerja dan hantar kepada pejabat Pengarah Tanah Dan Galian (PTG)

v PTG angkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk petimbangan

v MMKN lulus dan hantar kelulusan kepada Pejabat Tanah melalui PTG

v Pejabat Tanah keluarkan Lesen Menduduki Sementara (LMS) kepada pemohon yang berjaya dan mohon bayaran LMS.

v Pemegang LMS yang telah mengusahakan tanah mereka,samada mendirikan rumah atau bertanam layak untuk diberi kelulusan memohon Hak Milik Sementara (Lis 99 atau 60 tahun).

v Setelah permohonan secara kekal dilulus melalui borang 5A, pemohon hendaklah menjelaskan bayaran dalam tempuh 3 bulan atau paling lewat 6 bulan.

Ternyata proses permohonan tanah ini memakan masa yang begitu lama. Jesteru itu Kerajaan Negeri (PAS) telah membuat satu mekanisma baru untuk mempercepatkan pemberian tanah kepada rakyat dengan mengambil langkah seperti berikut:

v Tumpuan kepada permohonan secara Berkelompok (RTB)

v Guna khidmat Juru Ukur Berlesen. Kerajaan melantik konsortium jurukur yang mengandungi 7 syarikat juru ukur.

v Bayaran ukur tidak membebankan.

v Permohonan tanah diselesaikan dengan cepat. Jumlah yang dapat diukur dalam tempoh satu tahun ialah 59,878 lot. Satu pencapaian yang belum pernah berlaku di mana-mana negeri di Malaysia.

MASALAH

v Bayaran ukur tidak dijelaskan secara serentak. Menyukarkan pembahagian lot.

v Kebanyakan kawasan RTB yang dilulus memerlukan pembersihan, tambun atau potong bukit yang melibatkan kos yang tinggi.

STATUS TANAH

Di saat kekalahan dan perubahan kerajaan berlaku, kedudukan permohonan tanah (RTB) adalah seperti berikut:

v Permohonan lulus dan pemohon sudah dapat Hak Milik Sementara (Lis)

v Pemohon sudah bayar premium (Notis 5A). Tetapi belum dapat Hak milik

v Pemohon dapat notis 5A tetapi belum bayar.

v Pemohon sudah memohon melalui borang Jadual 1. tetapi belum dapat notis 5A .

v MMKN telah lulus tetapi pemohon belum buat permohonan rasmi melalui borang jadual 1 .

v Pemohon sudah dapat kelulusan untuk bayar LMS,tetapi belum bayar.

v Bayaran pendahuluan kepada syarikat juru ukur telah dibuat tetapi kerja-kerja ukur belum siap dan pandangan teknikal pun belum dapat.

Tindakan Zalim Kerajaan Barisan Nasional

Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional telah mengambil tindakan drastik

dengan membatal dan merampas tanah-tanah yang pada dasarnya telah diluluskan oleh Kerajaan PAS sebelumnya. Perampasan itu berlaku dalam beberapa keadaan:

v Pemohon yang telah menjelaskan tuntutan premium (notis 5A) telah diarah supaya mengambil balik bayaran tersebut kerana kelulusan tanah telah dibatalkan.

· Soalan: Apakah Kerajaan berhak melakukan sedemikian?

· Yang boleh menentukan betul atau tidak tindakan itu ialah Mahkamah. Tetapi dipercayai Kerajaan bertindak demikian berpandukan tafsiran bahawa tanah itu dianggap menjadi milik seseorang hanya apabila namanya tercatit di dalam hak milik tanah berkenaan .

v Kerajaan BN telah membatal dan merampas tanah-tanah yang telah pun didapati ada binaan yang didirikan di atasnya atau pun ada tanah yang telah bertanam.

v Secara umumnya Kerajaan BN telah membatal /merampas semua tanah yang telah diluluskan Kerajaan Negeri (1999-2004) di dalam keadaan apa pun,kecuali mereka yang telah mendapat hak milik.

v Terdapat juga kes di mana tanah yang telah mendapat hak milik seperti tanah milik Koperasi ( PAS), Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri dan lain-lain telah diambil balik di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 .Ini dilakukan semata-mata kerana tidak ingin melihat adanya bangunan milk koperasi didirikan di tengah Bandar Kuala Terengganu.

Apa Tindakan?

· Berunding

Tidak ada perundingan dengan Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar Dato Seri Idris Jusoh. Pada tahun 2008, perundingan ada dibuat dengan Menteri Besar Baru. Ada yang berjaya tetapi amat terhad.

· Tindakan Mahkamah

Beberapa kes telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Di antaranya ialah kes RTB Bujal, RTB Meraga Beris dan

Masjid Bujal (di dalam kawasan RTB Bujal)

· Keputusannya:

Mahkamah membuat keputusan seperti berikut;

Permohonan untuk memiliki semula tanah-tanah di dalam RTB berkenaan ditolak.

Kerajaan hendaklah membayar ganti rugi kepada peserta peserta tanah-tanah RTB berkenaan ,termasuk ganti rugi kepada Masjid .

Dimaklumkan bahawa Kerajan Negeri telah mengemukan rayuan ke Mahkamah Persekutuan kerana tidak bersetuju membayar pampasan/ganti rugi kepada yang terlibat seperti yang diperintakan

oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Beberapa kes tanah RTB masih di dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Tindakan Seterusnya?

Ternyata tindakan Kerajaan BN membatal dan merampas tanah-tanah yang telah diluluskan oleh Kerajaan Pimpinan PAS dahulu adalah satu tindakan yang ZALIM dan tidak bertimbang rasa. Untuk catitan perlu dinyatakan bahawa pemilihan peserta untuk tanah-tanah di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bukanya untuk ahli-ahli PAS sahaja (seperti dakwaan BN) tetapi adalah untuk semua rakyat Negeri Terengganu .

Bagaimana untuk mengembalikan semula tanah-tanah ini kepada yang berhak? TUAN –TUAN LEBIH MENGETAHUI. TUKAR KERAJAAN. INSYAALLAH

Disedia Oleh:

Tengku Hassan bin Tengku omar

KEHAMBAAN MELAYU DAN KETUANAN ALLAH

Posted on/at 9:01 AM by Permaidani Hijau

Dr Mohd Zuhdi Marzuk
Sehari dua ini sibuk dibicarakan perihal Ketuanan Melayu ekoran kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah tentang hasrat PKR menghapuskan ketuanan tersebut.

Isu ini sangat berkait rapat dengan permasalahan perkauman yang masih belum selesai bahkan menjadi nadi bagi parti politik perkauman seperti Umno. Prinsip ajaran Islam begitu jelas, bahawa seluruh manusia ini adalah hamba Allah yang diberi amanah untuk memikul tugas Khalifah di atas muka bumi.

Berdasarkan prinsip tersebut para pencinta Islam berebut-rebut untuk menjadi hamba Allah bukannya berlagak tuan kepada mana-mana makhluk di dalam alam semesta ini. Dalam surah al-Isra', Allah memanggil makhluk yang paling dikasihinya Nabi Muhammad SAW dengan gelaran hambaNya.

Demikian juga, ketika Tawus al-Yamani menghadap Hisham bin Abdul Malik beliau hanya memanggil nama "Ya! Hisham", bukannya dengan gelarannya sebagai pemerintah agung atau ketua kerajaan.

Hisham yang begitu marah lalu bertanya kepada Tawus, mengapa beliau tidak memanggilnya dengan gelaran itu? Lalu Tawus menyatakan bahawa Allah memanggil mereka yang dikasihinya seperti yang termaktub dalam al-Quran dengan nama masing-masing seperti Dawud a.s. dan Isa a.s, malah menyebut dengan gelaran hamba seperti dalam surah al-Isra' tersebut.

Berebut-rebut menjadi hamba

Sebaliknya Dia memanggil golongan yang dimurkainya dengan gelaran. Dengan sebab itu, seharusnya kita berebut-rebut menjadi hamba kepada Allah.

Namun demikian manusia sangat gemar meninggi-niggikan kedudukan mereka menjadi tuan kepada yang lain. Semasa zaman feudal sama ada di Eropah dan sebahagian dunia yang lain, kuasa mutlak terletak kepada seseorang individu, manakala jiwa memperhambakan diri seharusnya ada pada setiap rakyat.

Lalu tercetusnya Revolusi Perancis yang membebaskan jiwa manusia di Eropah dari kehambaan, yang melihat semua manusia adalah mempunyai hak dan suara yang sama.

Malangnya manusia yang telah bebas dari jiwa kehambaan ini kemudiannya memperhambakan manusia di bahagian dunia yang lain atas nama 'tanggungjawab manusia berkulit putih'. Kemudian mereka memperhambakan manusia bukan berkulit putih.

Berikutan itu, manusia bukan berkulit putih berjuang pula untuk menuntut hak dan suara mereka sebagai seorang menusia. Antara kejayaan golongan ini yang terakhir, ialah di Afrika Selatan dengan menghapuskan Dasar Apartheid.

Dalam dasar ini mereka yang bukan berkulit putih dianggap lebih rendah dan mendapat layanan kelas kedua dalam negara. Dasar ini telah berjaya dihapuskan pada tahun 1994 melalui perjuangan yang begitu lama diketuai oleh Nelson Mandela. Semua pihak mengutuk dasar Apartheid ini termasuklah mereka yang bergantung kepada politik rasisme seperti Umno, seolah-olah mereka tidak menyedari mereka memperlakukan perkara yang hampir sama semasa di tampuk kuasa.

Setelah masyarakat global menyedari sepatutnya tiada segolongan kecil manusia yang menjadi tuan lalu memperhambakan segolongan besar manusia yang lain, tiba-tiba masyarakat manusia yang sedar ini pula bertindak mencabuli hak-hak makhluk Allah yang lain.

Masyarakat manusia telah menjadikan haiwan sebagai bahan-bahan mentah atas nama kemajuan sektor penternakan. Haiwan-haiwan yang diternak ini dinafikan hak mereka untuk bervariasi (kepelbagaian) melalui teknik-teknik reproduksi moden yang melahirkan haiwan yang mempunyai hanya ciri-ciri yang dikehendaki.

Animal Right

Haiwan-haiwan ini juga dinafikan daripada tabiat semulajadi mereka seperti bersosial dan mendiami habitat yang sesuai. Hak dan suara haiwan-haiwan ini kemudiannya diperjuangkan oleh sekumpulan manusia yang menggelarkan kumpulan mereka dengan Animal Right.

Kemudian datang pula sekumpulan manusia yang menyatakan bahawa perjuangan kumpulan Animal Right ini sempit kerana hanya memperjuangkan hak dan suara komponen-komponen alam yang hidup (living being), sedangkan melupai hak dan suara komponen-komponen alam yang tidak hidup.

Mereka ini berinspirasikan Aldo Leopold yang telah menulis pandangannya dalam "The Land Ethics". Menurut Leopold, semasa zaman Greek silam, Oddeyseus menganggap hamba itu bukan manusia sebaliknya harta, sedangkan hari ini masyarakat manusia telah memberi hak manusia kepada sesiapa yang berbiologikan manusia.

Lalu Leopold menyatakan, kita seharusnya memanjang perkara yang sama kepada seluruh komponen alam yang hidup atau bukan hidup, yang sebelum ini manusia menganggapnya juga sebagai harta.

Demikianlah manusia, dengan naluri kemanusiaannya menuntut hak dan suara masing-masing. Bagi menusia yang sempit kemanusiaannya dan tinggi kepentingan dirinya, menuntut hak dan suara itu bagi sekumpulan yang sempit seperti pejuang Ketuanan Melayu.

Bagi menusia yang luas kemanusiaanya dan tinggi toleransinya, menuntut hak dan suara untuk sekumpulan yang lebih besar malah merangkumi hak dan suara bagi komponen bukan manusia seperti pejuang Animal Right dan Deep Ecology. Bagi manusia yang sederhana kemanusiaannya dan di peringkat pertengahan kepentingan diri dan toleransinya, menuntut hak itu bagi sekumpulan yang sederhana seperti pejuang hak asasi manusia.

Masing-masing mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan masing-masing. Golongan feudal mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan feudalisme mereka. Golongan kulit putih mentakrifkan hak dan suara itu mengikut rasisme mereka.

Golongan pejuang hak asasi manusia mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan humanisme mereka. Golongan Individualisme mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan Libertarianisme mereka. Golongan Animal Right dan Deep Ecology mentakrifkan hak dan suara itu mengikut takrifan environmentalism mereka.

Kita semuannya hamba

Mereka semua lupa bahawa Tuhan bukan mereka yang menciptakan alam semesta ini. Mereka tidak berhak menentukan hak siapa yang mesti lebih dan hak siapa yang mesti kurang, atau suara siapa yang didahulukan dan suara siapa yang dikemudiankan. Bukankah yang berhak menentukan hak siapa yang lebih dan suara siapa yang didahulukan adalah Tuhan yang Maha Adil.

Tuhan yang Maha Adil itulah menentukan siapa yang berhak dan siapa yang tidak berhak, atau siapa yang didahulukan suaranya dan siapa yang dikemudiankan suaranya. Tuhan yang Maha Adil itu bebas dari pergantungan kepada makhluknya, justeru ketentuannya adalah semata-mata atas sifatNya yang Maha Adil.

Allah yang Maha Adil itulah Tuan seluruh makhluk, manakala kita ini semuanya adalah hamba. Bagi mengetahui siapakah yang berhak dan suara siapakan yang didahulukan, maka Tuhan yang Maha Adil itu menurunkan wahyuNya dan mengutuskan pesuruhNya.

Melalui wahyu dan pesuruhNya itu kita mengetahui adakalanya pemimpin lebih berhak, adakalanya rakyat lebih berhak, adakalanya satu kaum lebih berhak, adakalanya manusia lebih berhak, adakalanya haiwan lebih berhak dan adakalanya komponen alam yang tidak hidup lebih berhak.

Melalui wahyu dan pesuruhNya juga kita mengetahui adakalanya suara pemerintah didahulukan, adakala suara rakyat didahulukan, adakalanya suara sesuatu kaum didahulukan, adakalanya suara manusia didahulukan, adakalanya suara haiwan didahulukan dan adakalanya suara komponen alam yang tidak hidup didahulukan.

Semua perkara tentang yang berhak dan tidak berhak, atau yang mempunyai suara dan tidak mempunyai suara ini termaktub secara terang dan panjang dalam ajaran Islam. Pada pandangan saya inilah konsep sebenar Ketuanan Islam iaitu ketuanan Allah secara mutlak ke atas hamba-hambaNya.

Monday, July 5, 2010

Murtad: Mengapa ini berlaku dan apakah tindakkan kerajaan MALAYSIA ?

Posted on/at 4:04 PM by Permaidani Hijau

'Pernah dengar cerita Aisyah Bukhari yang murtad tak lama dulu? Suratkhabar banyak menutup kes ini kononnya untuk menjaga perkauman, tak nak terjadi kacau bilau. Kes Aisyah yang murtad dan banyak kes murtad lain ditutup sedemikian rupa atas alasan bercinta, ikut boyfriend.


Cerita yang akan bawa ini agak panjang tetapi sekiranya kamu seorang Islam yang peka dan sayangkan agama kita Islam, buatlah sesuatu, paling kurang sebarkan kepada saudara kita yang tak tahu menahu. Ataupun selemah-lemahnya, berdoa agar kita semua serta saudara-saudara kita terselamat daripada fitnah akhir zaman yang paling besar ini.

Ini bukan cerita rekaan tetapi hanya petikan dari ceramah yang saya dengar dari mulut peguambela kes ini Zulkifli Nordin di Madrasah Hidayah. Murtad dikalangan orang Melayu kini sudah menjadi ancaman kepada kita. Indeks pencemaran akidah mengikut jabatan statistik dan perangkaan Tahun 1989 aje, 4776 orang Melayu mohon tukar nama dari Melayu kepada bukan Melayu atas alasan keluar dari Islam.

Tahun 1997, bila Saari Bustamah mengambil alih jawatan mufti dari Datuk Hashim Yahya, perkara pertama yang disentuh adalah murtad. Menurutnya sehingga Julai 1997, 3,000 orang murtad di KL sahaja. Tahun 1998 saja, 516 orang sudah murtad.Aisyah bukan kes pertama murtad, sebelum ini dah beratus kes timbul tetapiditutup oleh pihak tertentu.

Setakat kes Aisyah, dah 40 fail murtad dikendalikan oleh saudara kita Zulkifli Nordin. Mengapa kes Aisyah ini kita rasa ralat sangat? Kes ini satu simbol yang tunjukkan pada kita orang Melayu. Sistem pertahanan akidah kita amat rapuh. Akidah kita diserang ditubi dari segala sudut. Yang kita tak nampak dengan menggunakan system perundangan dan kehakiman kita sendiri.

Kes ini boleh dilihat dari 2 sudut.

1.Bagaimana orang macam Aisyah boleh murtad
2. Bagaimana orang kafir laknatullah boleh menggunakan sistem hakiman kita untuk merampas anak orang Islam untuk dimurtadkan?

Apa yang berlaku kepada Haji Bukhari setelah 25 tahun didik anak dengan pengisian Islam yang hebat. Sedang dia mengimamkan sembahyang terawih di masjid tahun 1997 anak dia sedang dimurtadkan dirumah.

Aisyah adalah gadis Melayu biasa yang didedahkan dengan ilmu yang sepatutnya. Dalam keadaan macam tu, dia takkan murtad. Dihantar ke sekolah agama, dia belajar hingga tingkatan 6 atas dan boleh melayakkan diri jadi ustazah kalau dia hendak, dan layak melanjutkan ke peringkat Universiti Al Azhar kalau dia hendak . Dia dibesarkan dalam suasana yang bapanya imam. Datuknya juga imam yang dah berpuluh tahun imam Haji Tahir. Dia juga hafal surah Yasin. Dalam ertikata, tahu ayat apa, surah ke berapa yang dibacanya, ayat apa yang jadi azimat, semua dia tahu.. Itu hebatnya Aisyah. Surah Sajadah pun dia hafal ... Masuk ITM dia terlibat dalam gerakan Islam. Dia didedahkan dengan gerakan Islam, dia tahu kelemahan-kelemahan Bible. Dari segi keterampilan, dia budak perempuan Melayu seperti biasa, pakai tudung dengan baju kurung bunga-bunga. Takde apa yang pelik pada dia, duduk di lembah keramat AU5C. Kakak dia pun macam itu juga keterampilannya. Tiap-tiap hari telefon bapanya lapor isu terkini. 2 tahun di KL begitu. Hari terakhir dia telefon 19 Nov 1997,

'Assalamualaikum ayah! Ni Intan (nama manja) cakap. Intan nak bagitahu, Intan dah kristian.'

Bayangkan hati seorang bapa. Kita sendiri heran macamana dia boleh murtad. Aisyah adalah simbol anak Melayu yang telah dididik dengan begitu rupa boleh murtad. Apa yang Haji Bukhari boleh buat? Airmata sahaja modal dia. Masuk TV menangis, keluar radio menangis, pergi forum menangis apa yang dia boleh buat? Semua dokumen mahkamah akan jadi bahan arkib termasuk permohonan kafir laknatullah itu minta Aisyah dibebaskan untuk dimurtadkan ..

Butir asal permohonan.. ....

Permohonan ini dibuat oleh Lennet Teoh Hui Leong seorang peguam Cina
Kristian. (Read Herbes Corpes bawah bab 36 kanun acara jenayah). Tujuan untuk membebaskan seorang yang didakwa ditahan secara salah. Sebarang permohonan seperti ini perlu bagi sebab mengapa didakwa tahan secara salah. Permohonan dibuat bawah bab 36 atas alasan Article 11 Perlembagaan Persekutuan. Iaitu hak kebebasan beragama. Tiada langsung soal kahwin timbul. Permohonan tu menyatakan, perenggan 6, bertarikh 28
November 1997 di Makamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur bahagian jenayah.

Sebab yang dia beri, 'Saya Lennet Teoh Hui Leong telah dilantik oleh Nur Aisyah untuk memberi nasihat kepadanya berkenaan dengan pertukaran agamanya kepada Kristian dan atas arahannya saya telah menyediakan surat sumpah untuk Nur Aisyah menolak dan meninggalkan agama Islam.'

Perenggan 23: 'Saya Lennet Teoh percaya bahawa Nur Aisyah sedang dikurung secara salah oleh keluarganya. Saya percaya tindakan ibubapa, abangnya dan bapa saudaranya telah melanggar hak kebebasan Nur Aisyah menganut agama pilihannya iaitu Kristian Khatolik'.

Kita tak boleh buat apa-apa sebab article 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan mana-mana warganegara Malaysia yang telah cukup umur (18tahun) berhak mutlak menukar gamanya. Itulah perlembagaan kita yang memerdekakan orang Melayu kita tahun 1957. Perlembagaan itulah juga yang menjerut kita sendiri. Adakah anak cucu kita akan selamat dengan perlembagaan itu? Bila berlaku pertembungan antara hukum syara' dengan undang-undang sivil, undang-undang syara' akan terbatal. Maksud agama rasmi kita Islam adalah acara-acara rasmi hendaklah dibuat mengikut cara Islam. Contohnya perlantikan sultan, rasmi parlimen dll. Tak lebih dari itu. Bab kehidupan, politik, ekonomi.... semua tak termasuk.

Article 4 pula menyatakan: 'Mana-mana undang-undang yang bertentangan yang bercanggah dengan perlembagaan ini adalah batal dan tidak sah. Ini termasuklah hukum syara'.

Sunday, July 4, 2010

Jin dan Manusia Jadi Penghasut

Posted on/at 1:01 PM by Permaidani Hijau

Tafsir Surah An-Naas

Terdapat tiga sifat Allah s.w.t. yang difokuskan dalam surah ini iaitu: Rububiyyah, yang memerintah dan mentadbir sebuah kerajaan agung dan uluhiyyah, ketuhanan yang menjadi tempat untuk mempersembahkan ibadah secara mutlak.

Ayat ini meletakkan bahawa Allah s.w.t. merupakan pencipta yang bersifat kesempurnaan dengan segala sifat kesempurnaan dengan penguasaan mutlak terhadap alam semesta. Lalu dia menetapkan bahawa hamba mestilah mengerjakan ibadah secara khas buatnya, tanpa melakukan sebarang bentuk perbuatan syirik.

Menyedari kekuasaan yang ada padanya, maka manusia hendaklah memohon bantuan daripada Allah untuk mendapatkan perlindungan daripada gangguan syaitan yang tidak kelihatan itu. Hal ini kerana manusia sentiasa digoda oleh qarin, iaitu syaitan yang menyertainya sepanjang kehidupan. Tugas syaitan ini adalah membisikkan kepadanya agar berbuat maksiat, melanggar larangan dan meninggalkan perintah Allah s.w.t.

Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak ada seorang pun daripada kalian melainkan telah diutus kepadanya qarin (pendamping) daripada kalangan jin.” Para sahabat lantas bertanya: “Termasuk nabi juga?” Nabi s.a.w. menjawab: “Ya, cuma Allah telah membantuku ke atasnya menyebabkan ia masuk Islam, maka ia hanya menurutku melakukan kebaikan!” (Riwayat Muslim no. 2814)

Dalam ayat yang lain Allah s.w.t. mengambarkan bahawa syaitan ini berusaha bersungguh-sungguh untuk menyesatkan manusia, seperti yang terdapat dalam ayat ke-64, surah al-Isra’ yang bermaksud: “Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campur dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka) dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.”

Penglibatan syaitan dalam memporak perandakan hubungan manusia ini hingga menimbulkan salah faham, fitnah memfitnah dan penganiayaan amatlah jelas. Oleh sebab itu, Nabi yang mulia menganjurkan kita agar mengelakkan fitnah daropada berlaku. Pernah dalam satu kesempatan ketika berjalan Nabi s.a.w. bersama isteri, Ummul Mukminin Safiyyah r.ha., Nabi s.a.w. bertembung dengan dua orang sahabat Ansar. Kedua-dua orang sahabat itu kelihatan mempercepatkan perjalanan mereka. Lantas Nabi s.a.w. memanggil kedua-duanya lalu bersabda: “Ini adalah isteriku Safiyyah.” Mereka mengatakan: “Maha suci Allah.” Jawapan Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya syaitan mengalir dalam tubuh manusia seperti aliran darah.”

Berpandukan kepada tindakkan Nabi s.a.w. dalam hadis ini kita dapat merasakan bagaimana halusnya tipu daya syaitan untuk menimbulkan buruk sangka dalam hati manusia, lalu Nabi s.a.w. telah menutup laluan fitnah-fitnah daripada berlaku.

Menurut Sa’id bin Jubair r.a., Ibn Abbas menerangkan bahawa firman Allah yang bermaksud, “bisikan syaitan yang bersembunyi” merujuk kepada keberadaan syaitan yang selalunya berada dekat dengan hati manusia. Apabila hati itu lalai, maka dia mula membisikkan kepadanya berbuat kejahatan. Sebaliknya apabila dia menginggati Allah, maka syaitan yang berada dekat dengan hatinya akan lari mengasingkan diri, malahan apabila diucapkan kalimah ‘bismillah’ maka dia akan menjadi kecil seperti lalat sebelum melarikan dirinya. Demikianlah penjelaan seperti mana yang dikumpulkan daripada hadis-hadis seperti yang terdapat dalam tafsir Ibn Jarir, al-Qurtubiy dan Ibn Athiyyah.

Dalam riwayat yang dikemukakan oleh Ibn Jarir dalam tafsirnya, daripada al-Mu’tamir bin Sulaiman beliau mengatakan bahawa antara kerja syaitan yang sukar dibendung oleh manusia juga ialah kemampuannya membisikkan dalam hati manusia ketika dia bersedih ataupun bergembira. Apabila manusia itu menginggati Allah, maka syaitan ini akan bersembunyi.

Apabila perancangan syaitan itu bersifat berterusan tanpa henti dan tanpa mengira waktu, maka kita dapat Allah s.w.t. menggunakan kata nama was-was yang diambil daripada perkataan al-waswasat.

Menurut as-Asfahani dalam kitabnya al-Mufradat, salah satu makna asal kepada kata nama al-waswasat ini diambil daripada bunyi perhiasan seperti rantai yang sentiasa mengeluarkan bunyi berterusan. Maka penggunaan kalimah al-Quran mengisyaratkan kepada kita betapa gangguan dan godaan syaitan ini bersifat berterusan, tanpa disedari seperti juga keadaan pemakai gelang yang kurang sedar bahawa gelang itu mengeluarkan bunyi geseran.

Agen Penyesat

Pada ayat ke-5 Allah s.w.t. menjelaskan bahawa panah yang dilemparkan oleh syaitan berupa bisikan untuk melakukan kejahatan ini berkaitan rapat dengan hati. Sekiranya hati itu sudah dikawal oleh syaitan maka semua tindak tanduknya akan mengarah kepada kehendak syaitan dan membelakangkan kehendak Allah s.w.t.

Dalam ayat terakhir Allah s.w.t. memberitahu sekalian manusia bahawa sebenarnya disamping jin yang menyesatkan, manusia juga berperanan menyesatkan kita. Hakikat ini jelasa berlaku kerana manusia juga boleh menjadi agenyang menyesatkan orang lain. Perkara ini adalah reality yang tidak dapat kita nafikan dalam kehidupan.

Dalam surah al-An’am ayat ke 112, Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “Dan demikianlah kami (Allah) jadikan tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan, manusia dan jin, sebahagiannya membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh sebab itu,biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu.”

Ayat ini menunjukkan bahawa manusia juga mampu bertindak seperti kelakuan syaitan hingga mendorong manusia lain melakukan maksiat, dengan pengaruh kata-kata dan tindakan.

Cara paling efektif menjaga diri daripada gangguan syaitan ini dijelaskan dalam firman Allah menerusi ayat ke-201 surah al-A’far yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan daripada syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka Nampak (jalan yang benar).”

Jadi, kita hendaklah sentiasa berdamping dengan Allah, mentaatinya dalam segenap urusan dan sentiasa berta’awwuz, memohon perlindungan dengannya daripada bisikan syaitan. Selain itu beriltizamlah dengan amalan-amalan tertentu yang dapat menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa gangguan syaitan. Amalan ini termasuklah menjaga wuduk, mengamalkan al-Basmalah, berta’awwuz (membaca A’uzubillah), mengamalkan ayat kursi, membaca al-mu’awwizatain, membaca keseluruhan surah al-Baqarah dan mengucapkankan tahlil (ucapan ‘lailaha illallah’).

Inilah antara yang disebut dalam kitab Rahmatan li al-Alamin dalam bab menceritakan tentang dakwah Nabi kepada jin. Wallahu a’lam..

Friday, July 2, 2010

KEWUJUDAN ALAM SEMESTA

Posted on/at 11:22 PM by Permaidani Hijau

Asal usul alam semesta diterangkan dalam Al-Qur'an ayat berikut;

"Dia adalah maha Pencipta langit dan bumi" -Surat al-An'aam:101.

Maklumat yang dinyatakan dalam Al-Qur'an ini adalah satu fakta yang sangat tepat dan selari dengan penemuan sains kontemporari. Kesimpulan yang dicapai dalam bidang astrofizik hari ini ialah bahawa alam semesta, bersama-sama dengan dimensi benda dan masa, telah terhasil melalui satu letupan yang besar yang terjadi ketika masa-sifar. Fenomena ini yang dikenali sebagai Big Bang membuktikan bahawa alam semesta telah diciptakan dari ketiadaan sebagai satu produk, dari satu letupan titik tunggal. Golongan saintifik moden percaya bahawa Big Bang adalah satu-satunya penerangan paling rasional dan fakta yang dapat dibuktikan mengenai permulaan dan asal kewujudan alam semesta.

Sebelum fenomena Big Bang terjadi, tidak terdapat sebarang benda yang wujud. Dalam keadaan tanpa sebarang kewujudan kebendaan, tenaga atau masa, dan yang mana hanya dapat diterangkan secara metafizik, semuanya ini sebenarnya telah diciptakan. Fakta ini, yang baru diketahui melalui kajian dalam bidang fizik moden, telah dinyatakan dalam Al-Qur'an 1400 tahun lalu.


PENGEMBANGAN ALAM SEMESTA

Dalam Al-Qur'an yang diwahyukan 1400 tahun lalu, ketika pengetahuan tentang astronomi masih sedikit, fakta mengenai pengembangan alam semesta telah diterangkan seperti berikut;

"Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya." -Surah az-Dzariyat;47


Edwin Hubble

Perkataan 'langit' yang dinyatakan dalam ayat di atas digunakan dalam banyak tempat dalam Al-Qur'an yang bermaksud ruang angkasa dan cakerawala. Di sini sekali lagi, perkataan ini digunakan untuk maksud ini. Dalam perkataan lain, Al-Qur'an mendedahkan hakikat mengenai proses pengembangan alam semesta. Dan ini merupakan puncak kesimpulan yang diputuskan oleh dunia sains hari ini.

Sehingga penghujung abad ke 20, pandangan yang paling masyhur dalam dunia sains ialah bahawa 'alam semesta mempunyai sifat konstan (statik) dan telah wujud tanpa keterbatasan masa'. Kajian, pemerhatian dan pengiraan yang dijalankan melalui seluruh insfranstruktur teknologi moden, sebenarnya telah menunjukkan bahawa alam semesta telah wujud dalam masa yang terbatas dan berkembang secara konstan.

Pada permulaan abad ke 20, seorang ahli fizik Russia Alexander Friedmann dan ahli kosmologi Belgium George Le'maitre telah membuat pengiraan secara teori bahawa alam semesta adalah dalam keadaan pergerakan yang berterusan dan ia sebenarnya berkembang.

Fakta ini juga telah dibuktikan melalui data dari pemerhatian yang dijalankan pada tahun 1929. Edwin Hubble seorang ahli astronomi Amerika yang membuat pemerhatian di langit dengan menggunakan teleskop, mengisytiharkan bahawa bintang-bintang dan galaksi-galaksi bergerak menjauhi antara satu sama lain secara berterusan. Sebuah alam semesta di mana semua benda di dalamnya secara konstan bergerak menjauhi sesama mereka, jelas menggambarkan pengembangan alam semesta itu. Pemerhatian yang dijalankan dalam tahun berikutnya mengesahkan bahawa alam semesta adalah berkembang secara berterusan. Fakta ini telah di jelaskan dalam Al-Qur'an ketika mana hal ini masih belum lagi pernah diketahui oleh manusia. Ini adalah kerana Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, maha Pencipta dan Pemerintah bagi seluruh alam semesta.


PEMISAHAN LANGIT DAN BUMI

Sepotong ayat mengenai penciptaan langit dinyatakan sebagai berikut.ayat.

"dan apakah orang-orang kafir itu tidak melihat bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (satu unit penciptaan), kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakan mereka tiada juga beriman?" -Surah Al-Anbia: 30

Kalimah 'ratq' diertikan sebagai dijahit yang bermaksud 'dikumpul bersama, dicampur' dalam kamus bahasa arab. Ianya digunakan untuk merujuk dua intipati yang berbeza yang membina suatu yang menyeluruh. Frasa 'Kami membuka jahitan; adalah perkataan fataq dalam bahasa arab dan menggambarkan bahawa sesuatu yang diwujudkan dengan membelah bahagian atau memusnahkan struktur ratq. Biji benih yang tumbuh bertunas dari tanah adalah satu contoh frasa ini.

Sekarang mari kita perhatikan sejenak ayat ini sekali lagi dengan menyimpan pemahaman ini di dalam minda. Di dalam ayat tersebut, langit dan bumi pada status pertamanya adalah berbentuk ratq. Kedua-duanya di pisahkan (fataqa) dengan kemunculan satu dari yang satu lagi. Apa yang menarik, apabila kita mengingati saat pertama fenomena Big Bang kita melihat bahawa satu titik tunggal mengandungi semua material alam semesta.

Dalam perkataan lain, setiap benda termasuk langit dan bumi yang masih belum diciptakan lagi, juga termasuk di dalam titik tunggal ini dalam keadaan ratq. Titik ini kemudiannya meletup dalam satu letupan yang besar, menyebabkan materialnya menjadi fataq dan proses ini membentuk keseluruhan struktur alam semesta. Apabila kita membandingkan pernyataan di dalam ayat Al-Qur'an di atas dengan penemuan saintifik, kita mendapati bahawa kedua-duanya berada dalam keserasian yang sempurna di antara satu sama lain. Apa yang cukup menarik perhatian ialah penemuan ini tidak diketahui sehingga abad ke 20.


ORBIT

Ketika menerangkan mengenai bulan dan matahari dalam Al-Qur'an, ianya ditekankan bersama bahawa setiap satunya mempunyai laluan orbit tertentu;

"Dia yang menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan, setiap mereka berenang di falak (tempat peredarannya)." -Surah al-Anbiya; 33

Dalam ayat lain dinyatakan juga bahawa matahari sebenarnya bukan objek yang statik tetapi juga mempunyai orbitnya tertentu;

"Dan matahari beredar di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan yang maha Perkasa dan maha Mengetahui." -Surah Yaasin;38)

Fakta yang dikemukakan dalam Al-Qur'an ini telah ditemui melalui pemerhatian astronomi hari ini. Berdasarkan kepada kiraan pakar-pakar astronomi, matahari bergerak dalam kelajuan yang besar selaju 720, 000 km sejam mengarah ke bintang Vega dalam satu orbit tertentu dalam sistem Solar Apex. Ini bererti matahari bergerak sejauh 17,280,000 km sejam secara anggaran. Bersama-sama dengan matahari, dan semua planet dan satelit yang berada dalam lingkungan sistem graviti matahari (sistem solar) juga turut bergerak pada jarak yang sama. Sebagai tambahan, semua bintang dalam alam semesta adalah berada dalam satu persamaan pergerakan yang telah ditentukan.

Lanjutan hal ini, iaitu alam semesta dipenuhi dengan lintasan dan orbit telah dimaktubkan di dalam Al-Qur'an;

"Demi langit yang mempunyai jalan-jalan." -Surah az-Dzariyat;7

Terdapat lebih kurang 200 bilion galaksi dalam alam semesta, yang mengandungi hampir 200 billion bintang setiap satu. Kebanyakan dari bintang-bintang ini mempunyai planet-planet dan kebanyakan dari planet ini mempunyai satelit. Semua objek-objek langit ini bergerak menepati orbit-orbit yang telah dicongak. Untuk berapa juta tahun, semuanya 'berenang' melintasi orbit masing-masing dalam keseimbangan dan susunan yang sempurna bersama-sama dengan yang lain. Selanjutnya, bilangan komet yang banyak juga bergerak bersama dalam orbit-orbit yang telah ditentukan untuk mereka.

Orbit-orbit dalam alam semesta bukan sahaja dimiliki oleh jasad-jasad langit ini, tetapi juga dimiliki oleh galaksi-galaksi yang bergerak pada kelajuan yang besar dalam orbit-orbit yang telah ditetapkan. Sewaktu dalam pergerakan, tidak ada satupun objek langit ini yang memotong orbit atau bertembung dengan objek lain.

Suatu yang pasti, ketika Al-Qur'an di turunkan manusia tidak mempunyai sebarang teleskop seperti hari ini atau teknologi pemerhatian yang maju untuk memerhati jutaan kilometer ruang angkasa, dan juga tanpa pengetahuan fizik atau astronomi yang moden. Dengan hal ini, ianya suatu yang mustahil ketika itu untuk menentukan secara saintifik bahawa ruang langit 'dipenuhi dengan lintasan dan orbit' seperti yang dinyatakan dalam Al-Qur'an. Bagaimanapun, hal ini secara jelas diterangkan kepada manusia dalam Al-Qur'an yang diwahyukan ketika itu -kerana Al-Qur'an sebenarnya adalah kalam Tuhan.


BENTUK SFERA BUMI

"Dia menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran. Dia membungkuskan malam atas siang dan membungkuskan siang atas malam." -Surah Az-Zumar:5

Dalam Al-Qur'an, perkataan yang digunakan untuk menerangkan alam semesta adalah sangat penting. Kalimah arab yang diertikan sebagai 'membalut' dalam ayat di atas adalah 'takwir', dan dalam bahasa inggeris, ia bermakud 'menjadikan sesuatu membalut sesuatu yang lain, dililit sebagai satu pakaian yang terhampar. Sebagai contoh, dalam kamus arab perkataan ini digunakan untuk perbuatan membalut sesuatu mengelilingi suatu yang lain seperti mana orang yang memakai serban.

Maklumat yang diertikan di dalam ayat mengenai siang dan malam yang membalut antara satu sama lain menyatakan maklumat yang tepat mengenai bentuk dunia. Fenomena ini hanya akan menjadi benar sekiranya bumi adalah berbentuk bulat. Ini bererti bahawa di dalam Al-Qur'an, yang diturunkan di abad ke 7, bentuk sfera bumi telah di disebutkan secara kiasan di dalamnya.

Ianya harus diingat, bagaimanapun, bahawa pemahaman mengenai astronomi ketika itu melihat dunia secara berbeza. Ketika itu difikirkan bahawa bumi berbentuk dataran rata dan semua pengiraan saintifk dan penjelasan berdasarkan kepada kepercayaan ini. Ayat Al-Qur'an bagaimanapun telah memuatkan maklumat yang baru diketahui beberapa abad sebelum ini, oleh kerana Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, perkataan yang paling tepat digunakan di dalamnya ketika menerangkan mengenai alam smesta.


BUMBUNG PROTEKTIF

Dalam Al-Qur'an, Tuhan menarik perhatian kita kepada ciri-ciri yang sangat mengagumkan di atas langit;

"Dan Kami jadikan langit itu sebagai atap terpelihara sedang mereka berpaling dari segala tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya." -Surah al-Anbiya; 32

Sifat istimewa langit ini telah dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan pada abad ke 20 ini.

Ruang atmosefera yang mengelilingi bumi sebenarnya menjalankan fungsi yang sangat penting untuk mengekalkan kehidupan untuk wujud. Ketika memusnahkan meteor-meteor besar dan kecil ketika mendekati bumi, ia menghalangnya dari jatuh ke dalam bumi dan dari membahayakan makhluk hidupan.

Sebagai tambahan, atmosfera menapis sinaran yang datang dari luar angkasa yang sangat membahayakan kepada hidupan. Apa yang menariknya, atmosfera menelap sinaran yang berguna dan berfaedah- cahaya nampak, tak nampak dan gelombang radio - untuk menembusinya. Semua jenis radiasi ini adalah sangat penting kepada kehidupan. Cahaya nampak, yang sebahagiannya dibenarkan menembusi dalam atmosfera adalah sangat diperlukan untuk menjalankan proses fotosintesis dalam tumbuhan yang membantu mengekalkan makhluk hidupan. Kebanyakan sinaran ultra violet dengan keamatan tinggi yang dipancarkan oleh matahari di telap keluar oleh lapisan ozon dalam atmosfera dan hanya membataskan -dan yang paling penting- bahagian kecil dalam spektrom ultra violet untuk mencecah permukaan bumi.

Fungsi protefktif atmosfera tidak berakhir di sini. Atmosfera juga melindungi bumi dari kesan pembekuan dari luar angkasa, dengan suhu lebih kurang -270 darjah centigrade.

Sebenarnya atmosfera tidak bersendirian dalam menjalankan fungsi perlindungan kepada bumi. Sebagai tambahan kepada atmosfera, Jalur Allan Velt, lapisan yang dihasilkan oleh medan magnet bumi, juga berfungsi sebagai perlindungan menentang radiasi yang merbahaya yang mengancam planet kita. Radiasi merbahaya ini, yang secara berterusan dipancarkan oleh matahari dan bintang-bintang lain berpotensi membawa maut kepada makhluk hidupan. Sekiranya Jalur Van Allan tidak wujud, letupan besar-besaran oleh tenaga yang dipanggil nyalaan solar (solar flares) yang kerap terjadi di matahari akan menghancurkan semua kehidupan dalam dunia.

Dr Hugh Ross menyatakan hal ini mengenai kepentingan jalur Van Allen kepada kehidupan;

Sebenarnya, bumi mempunyai kepadatan paling tinggi berbanding sebarang planet dalam sistem solar kita. Teras besar nikal-besi ini bertanggungjawab untuk medan magnet gergasi kita. Medan magnet ini menghasilkan perisai radiasi Van Allen yang melindungi bumi dari pengeboman radiasi. Sekiranya perisai ini tidak wujud, kehidupan tidak mungkin berada di bumi. Satu-satunya planet berbatu yang mempunyai medan magnet ialah Utarid- tetapi kekuatan medannya 100 kali lebih kecil berbanding medan magnet bumi, bahkan Zuhrah, saudara planet kita, tidak mempunyai sebarang medan magnet. Perisai radiasi Van Allen adalah satu rekaan yang unik kepada bumi.

Tenaga yang dipancarkan dari salah satu pembakaran yang dikesan baru-baru ini telah dikira dan dipastikan adalah bersamaan dengan 100 juta kali ganda bom atom yang digugurkan di Hiroshima!!. 58 jam selepas letupan ini, jarum kompas magnetik diperhatikan menunjukkan pergerakan yang luar biasa dan 250 kilometer di atas atmosfera bumi, suhu jatuh mendadak kepada 2500 darjah selsius.

Ringkasnya, sebuah sistem yang sempurna sedang bekerja di luar permukaan bumi. Ia mengelilingi dunia kita dan melindunginya dari ancaman luar. Saintis hanya menyedari hal ini beberapa tahun lalu. Tetapi Tuhan telah menerangkan kepada kita dalam Al-Qur'an mengenai atmosfera bumi yang berfungsi sebagai perisai pelindung 14 abad lalu.


PENGITARAN DI ATAS LANGIT

Ayat ke 11 dalam surah at-Tariq, merujuk kepada fungsi 'pembalikan' langit;

"Demi langit yang mempunyai (sistem) pengitaran." -Surat at-Tariq;11.

Perkataan yang ditafsirkan sebagai 'kitaran' dalam penerjemahan Al-Qur'an juga bermaksud 'menghantar balik' atau 'pengembalian'.

Seperti yang diketahui, atmosfera yang mengelilingi bumi mengandungi beberapa lapisan. Setiap lapisan memberikan tujuan penting bagi faedah kehidupan. Kajian telah menunjukkan bahawa semua lapisan ini menjalankan fungsi pemantulan material atau sinaran yang bergerak ke arahnya keluar semula ke luar angkasa atau turun kembali ke bumi. Sekarang kita akan meneliiti beberapa contoh fungsi 'pengitaran' yang dimainkan oleh lapisan-lapisan yang mengelilingi ruang langit bumi.

Troposfera, setinggi 13 hingga 15 kilometer di atas permukaan bumi membantu mengkondensasikan wap air yang naik ke udara dari permukaan bumi sebagai titisan hujan.

Lapisan ozon, pada ketinggian 25 kilometer, memancarkan semula sinaran merbahaya dan cahaya ultra violet yang datang dari luar angkasa kembali ke luar.

Lapisan ionosfera memancarkan liputan gelombang radio dari bumi kembali ke bahagian lain dalam bumi, sama seperti komunikasi satelit pasif, yang menyebabkan komunikasi tanpa wayar, radio dan siaran liputan televisyen dapat dilakukan untuk jarak yang lebih jauh.

Lapisan magnetosfera pula berfungsi mengembalikan zarah radioaktif merbahaya yang dipancarkan oleh matahari dan bintang-bintang lain kembali semula ke angkasa lepas sebelum sampai ke bumi.

Fakta mengenai sifat-sifat lapisan-lapisan atmosfera, yang baru diketahui baru-baru ini telah diumumkan berabad lamanya dalam Al-Qur'an, sekali lagi menunjukan bahawa Al-Qur'an sebenarnya adalah kata-kata Maha Suci Allah.


LAPISAN ATMOSFERA

Satu kenyataan telah disebut di dalam Al-Qur'an bahawa alam semesta ini mempunyai 7 lapisan;

"Dia-lah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak terhadap langit, lalu di jadikanNya 7 lapisan langit. Dan Dia maha Mengetahui segala sesuatu." -Surah al-Baqarah; 29

Maka Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa dan Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. (Surah Fusilat; 12)

Perkatan 'langit-langit', yang mana banyak di sebut di dalam ayat Al-Qur'an merujuk kepada langit di atas bumi dan merangkumi juga seluruh alam semesta. Makna perkataan tersebut bermaksud langit di bumi ataupun atmosfera yang terdiri daripada 7 lapisan.

Kajian kontemporari mendapati bahawa atmosfera dunia terdiri daripada pelbagai lapisan yang saling tindih menindih di antara satu sama lain, tambahan lagi lapisan ini telah digambarkan di dalam Al-Qur'an secara tepat.

Berdasarkan kajian saintifik yang telah dijalankan, subjek ini digambarkan seperti berikut;

Para saintis telah menemui bahawa atmosfera terdiri daripada beberapa lapisan, lapisan tersebut berbeza dari sudut fizikal berdasarkan tekanan atmosefera dan kandungan gas. Lapisan atmosefera yang paling hampir kepada permukaan bumi di panggil troposfera, yang mengandungi lebih kurang 90% jumlah jisim atmosfera, manakala lapisan di atas troposfera dipanggil stratosfera, kemudian diikuti dengan ozonosfera di mana penyerapan sinaran ultra ungu berlaku, kemudian diikuti dengan mesosfera, dan termosfera yang terdiri dari sebahagian gas ionyang dipanggil ionosfera. Bahagian yang paling luar dipanggil eksosfera yang merentang sejauh 480 km sejauh 960 km.

Jika kita perhatikan bilangan lapisan yang tersebut, kita akan mendapati atmosfera sebenarnya mempunyai 7 lapisan persis seperti yang disebutkan dalam Al-Qur'an.

Keajaiban yang penting sekali yang disebut dalam ayat ini 'Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya' di dalam surah Fusilat ayat ke 12. Di dalam perkataan lain, Tuhan telah menyatakan bahawa Dia telah menetapkan setiap tingkat langit itu dengan tugas dan fungsi tertentu. Kebenaran ini telah dilihat di bahagian pertama tadi, setiap lapisan mempunyai peranan penting untuk kebaikan hidupan semua manusia dan hidupan di muka bumi ini. Setiap lapisan mempunyai fungsi yang khusus, bermula dari fungsi pembentukan hujan sehingga kepada perlindungan daripada ancaman radiasi berbahaya, dan dari memancarkan gelombang radio sehingga menghalang ancaman meteor yang memusnahkan.

Salah satu dari pelbagai fungsi ini, sebagai contoh, telah dinyatakan dalam sebuah sumber saintifik sebagai berikut;

Atmosfera bumi mempunyai 7 lapisan. Lapisan yang paling rendah dipanggil troposfera. Hujan, salji dan angin hanya terjadi di troposfera.

Ini adalah satu penemuan fenomena yang menakjubkan, yang tidak dapat diperolehi tanpa kemajuan teknologi abad ke 20 sebagaimana yang telah nyata disebut dalam Al-Qur'an 1400 tahun dahulu.